spot_img
spot_img

Teraju Perkasa Ekonomi Bumiputera

spot_img

DALAM usaha membantu membangun, meningkatkan dan memperkasakan Bumiputera dalam ekonomi negara, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) ditubuhkan pada November 2011.

Teraju adalah unit strategik di Jabatan Perdana Menteri yang bertujuan menerajui, memacu dan menyelaras penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara selaras dengan Pelan Transformasi Negara.

Pada awal penubuhannya, Halatuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 1.0 (BETR 1.0) diperkenalkan dengan mengamalkan konsep transformasi nasional yang menekankan lima asas penting iaitu keperluan, mesra pasaran, berasaskan merit, telus dan pertumbuhan mampan.

- Advertisement -

Selepas enam tahun dilaksanakan, ternyata lima asas digunakan di dalam BETR 1.0 mendatangkan hasil dengan melahirkan usahawan Bumiputera yang lebih berdaya saing serta berpeluang menembusi pasaran antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Datuk Husni Salleh berkata, kejayaan program BETR 1.0 terbukti mendatangkan impak positif kepada usahawan Bumiputera apabila mencatatkan sejumlah RM108 bilion menerusi semua inisiatif yang dijalankan setakat Mac 2017.

Menurutnya, jumlah itu disumbangkan dengan peluang perniagaan, pendanaan, pembangunan modal insan, pelaburan swasta dan penghasilan nilai perniagaan.

- Advertisement -

“Ini adalah satu pencapaian terbesar kami selama enam tahun melaksanakan BETR 1.0 dengan berpaksikan kepada lima asas-asas tersebut.

“Oleh itu, menerusi BETR 2.0, kami mahu mengembangkan konsep-konsep daripada BETR 1.0 yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada membantu meningkatkan ekonomi syarikat tetapi juga kepada lima teras yang diberikan tumpuan iaitu pendidikan dan modal insan, pekerjaan dan pendapatan, ekuiti korporat, keusahawanan serta aset bukan kewangan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabatnya di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Beliau berkata, BETR 2.0 merupakan kesinambungan kepada BETR 1.0 yang dilancarkan sebelum ini dan ia akan memberi tumpuan kepada langkah-langkah meningkatkan pendapatan Bumiputera, sekali gus merapatkan jurang pendapatan antara kaum di negara ini.

Selain itu, BETR 2.0 juga menekankan tiga objektif utama iaitu penciptaan kekayaan, penyertaan syarikat bumiputera dalam sektor bernilai tambah tinggi dan mempercepatkan pertumbuhan syarikat Bumiputera.

Hala tuju baharu TKB

Hala Tuju BETR 2.0 adalah satu lembaran berwajah baharu kepada perjuangan memperkasakan Agenda Bumiputera yang dikenali sebagai Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB).

TKB merangkumi segenap aspek kesejahteraan hidup seperti pendidikan, kesihatan, sosial dan budaya.

Husni berkata, TKB akan lebih bersifat inklusif lagi holistik berbanding Agenda Bumiputera yang lebih tertumpu kepada sudut ekonomi sahaja.

“TKB lebih merangkumi kepada meningkatkan skala Bumiputera, modal insan, mobiliti sosial Bumiputera dan mentransformasikan kesejahteraan Bumiputera agar usahawan Bumiputera dapat bersaing bukan sahaja dalam ekonomi tetapi dalam segenap perkara,” katanya.

Menerusi TKB, Husni berharap lebih ramai usahawan Bumiputera melibatkan diri dalam sektor-sektor berdaya saing dan bernilai tinggi contohnya sektor tenaga boleh baharu dan makanan.

Jelas Husni, kedua-dua sektor itu mempunyai permintaan yang tinggi di dalam dan luar negara.

“Oleh itu, usahawan Bumiputera perlu menukar fikiran bukan sahaja pada pasaran tempatan tetapi juga di peringkat global,” katanya.

BETR 1.0 catat kejayaan

Enam tahun BETR 1.0 dilaksanakan menunjukkan kejayaan besar dalam usaha untuk meningkatkan dan memperkasakan usahawan Bumiputera.

“Dana Mudahcara adalah satu insentif bagi menggalakkan pelaburan swasta Bumiputera untuk mendapatkan dana lain dalam membuat pelaburan.

“Sebanyak 469 projek telah mendapat kelulusan merangkumi sektor perkhidmatan, hartanah dan minyak dan gas di seluruh negara antaranya Tawau, Kuching, Besut dan Perlis, melibatkan pelaburan bernilai lebih RM13 bilion dan memberi peluang pekerjaan kepada 43,000 penduduk sekitarnya,” katanya.

Di bawah program Teras, kerajaan telah mewujudkan Dana Teras bercagarkan RM332 juta, di mana ia berjaya menarik penyertaan lima institusi perbankan yang menggandakan kemudahan pembiayaan kepada RM3.14 bilion.

“Bukan itu sahaja, sehingga kini, sebanyak RM1.3 bilion telah disalurkan kepada syarikat-syarikat Bumiputera menerusi kerjasama dengan bank-bank tempatan dalam BETR 1.0,” katanya.

Husni berkata, Skim Permulaan Ekonomi Bumiputera (Superb) dilaksanakan dengan kerjasama 10 agensi, lima koridor ekonomi dan melibatkan 7,000 syarikat Bumiputera.

Katanya, ini merupakan persaingan sihat di antara syarikat Bumiputera untuk mendapatkan dana khas.

Husni berkata, Superb memberi kesan besar kepada syarikat apabila seramai 7,000 syarikat Bumiputera tampil mengetengahkan idea masing-masing.

“Bagi membantu syarikat Bumiputera bersaing dalam projek-projek besar dalam negara, Teraju melaksanakan program Carve-out and Compete.

“Kejayaan pertama adalah menerusi projek fasa pertama Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) melibatkan penyertaan 50 peratus syarikat Bumiputera” katanya.

Hasilnya adalah sangat membanggakan, menurut Husni, kesemua syarikat Bumiputera itu berjaya projek mengikut jadual dan menepati bajet kos pembinaan yang ditetapkan.

“Ini adalah antara kejayaan yang boleh dibanggakan,” katanya.

Dengan kejayaan yang dicatatkan pada BETR 1.0, Husni berkata, pihaknya yakin BETR 2.0 menjadi kesinambungan kepada kejayaan usahawan Bumiputera pada masa akan datang.

“Harapan saya agar agensi kerajaan dan sektor swasta terus menjalinkan kerjasama dalam membantu usahawan Bumiputera.

“Sokongan kedua-dua pihak ini adalah penting untuk mendorong kepada kejayaan usahawan Bumiputera seperti yang telah dilakukan di dalam BETR 1.0,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mahu menggunakan konsep Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB) sebagai asas kepada semua perniagaan Bumiputera.

“Kita mahu lihat bagaimana cara untuk kita gunakan TKB ini dalam perniagaan Bumiputera,” katanya.

Husni berkata, bagi menyokong kepada BETR 2.0, pihaknya akan terus meningkatkan program-program di bawah Teraju secara lebih besar dan kembangkan mengikut keperluan usahawan Bumiputera pada masa akan datang.

Selain itu juga, Teraju berhasrat agar dapat terus meningkatkan dan menggandakan jumlah pendapatan yang dijana menerusi BETR 1.0 dalam BETR 2.0.

Jelas Husni, pihaknya juga mahu melihat penglibatan Bumiputera di dalam pengurusan tertinggi syarikat.

“Pengurusan tertinggi seperti pengarah urusan, ketua pegawai kewangan dan ketua pegawai eksekutif syarikat.

“Oleh itu, penerapan daya kefahaman mengenai pengurusan kewangan daripada peringkat awal,” katanya.

Beliau berkata, pada masa akan datang, Teraju mahu memberi peluang kepada rakyat terutamanya Bumiputera di dalam perniagaan bernilai tinggi.

Inisiatif bantuan mengikut keperluan

Bagi membantu usahawan Bumiputera bersaingan dengan sihat dalam ekonomi di negara ini, Husni mencadangkan agar agensi kerajaan dan sektor swasta mengamalkan polisi mesra syarikat kecil (Small Firm Friendly Policy).

Husni berkata, polisi ini juga boleh diamalkan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Polisi ini akan membantu syarikat kecil di kalangan usahawan Bumiputera bersaing dengan syarikat gergasi.

“Bagi menuju ke arah itu, mungkin perlu buat ada satu perkhidmatan atas talian (online) agar tidak wujud ‘pilih kasi’ dalam pemilihan syarikat dalam perniagaan contohnya,” katanya.

Jelasnya, ini merupakan antara konsep telus yang diamalkan sejak BETR 1.0, dalam usaha untuk membantu syarikat-syarikat kecil yang mempunyai kepakaran.

Selain itu, Husni juga memberikan cadangan dalam memenuhi kehendak dan keperluan wanita dan golongan muda.

“Sebanyak 70 peratus pelajar di universiti adalah wanita, dengan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, menyebabkan kurangnya penglibatan wanita dalam ekonomi.

“Melihat masalah itu, mungkin perlu ada satu platform yang diadakan bagi membantu wanita dengan kepakaran terlibat dengan ekonomi contohnya sebagai freelance,” katanya.

Bagi golongan muda pula, golongan muda perlu diberikan pendedahan terhadap teknologi digital pada masa akan datang menerusi beberapa program di bawah BETR 2.0.

Katnta, teknologi digital adalah sangat penting kepada golongan muda di dalam perniagaan pada masa akan datang.

Peluang senarai di Bursa

Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) merupakan salah satu program yang diserahkan kepada Teraju ketika awal penubuhannya, yang mana sebelum ini dijalankan oleh Kementerian Kewangan Malaysia pada 2007.

Husni berkata, program itu membantu banyak syarikat Bumiputera untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.

“Menyedari kesukaran untuk disenaraikan di Bursa Malaysia, kami mengubah strategi dengan cara yang betul.

“Kami menjalankan kerjasama dengan Ekuiti Nasional (Ekuinas) untuk meningkatkan lagi pencapaian menyenaraikan lima syarikat Bumiputera dengan nilai pasaran RM970 juta pada ketika itu” katanya.

Dengan strategi baharu itu, nilai pasaran RM970 juta tersebut telah berjaya dilonjakkan kepada RM7.8 bilion dengan penyenaraian lapan lagi syarikat Bumiputera.

SJJB berhasrat untuk membantu lebih banyak lagi syarikat pada masa akan datang.

“Kami sedang mencari syarikat yang berpotensi disenaraikan di Bursa Malaysia tetapi ia mengambil masa yang lama.

“Mungkin beberapa tahun untuk mengubah syarikat itu agar layak disenaraikan di Bursa Malaysia dengan bantuan bank-bank, Teraju dan Ekuinas,” katanya.

Usahawan perlu

kerja keras

Mengulas lanjut berhubung masalah di kalangan usahawan Bumiputera, Husni memberi nasihat bahawa usahawan Bumiputera perlu berusaha lebih untuk mendapatkan apa yang diinginkan dan mencapai kejayaan.

Menurutnya, untuk mendapatkan pembiayaan atau pinjaman sememangnya mencabar dan ada persaingan.

“Oleh itu, usahawan perlu bekerja keras untuk mendapatkan apa yang diinginkan dan jangan mudah putus asa.

“Mereka perlu tukar fikiran bahawa untuk mendapatkan kejayaan perlu disertakan dengan kegigihan,” katanya.

Berikutan masih kurang penglibatan usahawan Bumiputera dalam aktiviti eksport, Husni mengakuinya kerana 90 peratus perniagaan Bumiputera adalah dalam sektor perkhidmatan.

Manakala, menurutnya, jumlah yang terlibat dalam sektor pembuatan adalah sangat kecil dan tidak mampu ke peringkat lebih jauh.

Oleh itu, Teraju menganjurkan program Teraju International yang mana, Teraju bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) membantu syarikat Bumiputera ke peringkat global.

“Dalam program itu, akan memberi tumpuan kepada mencari formula untuk menembusi pasaran antarabangsa terutamanya Asean ke arah yang lebih komprehensif.

“Kita ada strategi tetapi kurang, oleh itu perlu dikembangkan lagi agar tidak tertinggal dalam sektor yang melibatkan eksport,” katanya.

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img