AMPANG – Polis menahan dua lelaki dalam pergaduhan di Jalan 4, Pandan Mewah, bersebelahan Hospital Ampang, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.15 pagi, anggota polis yang sedang membuat rondaan cegah jenayah melihat sekumpulan lelaki berkumpul berhampiran Hospital Ampang.
Menurutnya, dianggarkan seramai 80 individu telah bergaduh menggunakan topi keledar.
“Anggota kita telah menghampiri kumpulan terbabit dan mengarahkan mereka bersurai, namun tidak diendahkan.
“Susulan itu, salah seorang lelaki yang terbabit dalam kejadian itu telah ditahan. Selepas penahanan terbabit, seorang individu berlari sambil memegang parang turut ditahan,” katanya.
Beliau berkata, parang sepanjang kira-kira 54 sentimeter itu telah dirampas.
Dalam pada itu, polis turut merampas dua buah motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Yamaha LC135.
Katanya, kedua-dua lelaki berasal dari Rembau, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur itu dibawa ke Balai Polis Pandan Indah. Siasatan masih dijalankan dan kedua-dua mereka direman sehingga esok.