Susulan kenyataan Setiausaha Kerja Umno mengatakan anak muda kini bersama dengan perjuangan Umno, terdapat beberapa kemungkinan pemilihan ini dibuat berbanding parti politik lain.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, terdapat empat sebab mengapa anak muda kini memilih sedemikian.
“Pertama sekali mungkin kerana sudah ada peluang penerimaan untuk golongan muda di dalam Umno, yang kedua kerana terdapat perubahan interaksi dengan generasi muda ini di dalam parti itu.
“Ketiga, terdapat peluang dalam pelbagai isu yang turut berpihak pada orang muda dan terakhir, golongan ini mencari penentu untuk PRU14 nanti dan Umno cuba untuk memastikan undi anak muda berada di dalam parti itu,”katanya ketika dihubungi Sinar Online.
Sebelum ini, Umno mencatatkan jumlah keahlian seramai 3,573,719 orang, di 21,653 cawangan di seluruh negara hingga 30 November 2016.
Menurut Sivamurugan, parti-parti politik kini sedar kepentingan anak muda untuk mengundi mereka pada PRU akan datang.
“Dalam kalangan umur dari 21 tahun hingga 30 tahun, sudah banyak yang mendaftar dan golongan ini mempunyai kesan yang besar dalam PRU14 nanti, sebab itu masing-masing (parti politik) memerlukan mereka.
“Jika Umno menunjukkan jumlah keahlian tersebut, bermakna usaha yang banyak telah dilakukan dengan program dan aktiviti dalam usaha menarik golongan belia sertai Umno,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Sivamurugan tidak menolak kemungkinan bahawa Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memainkan peranan penting untuk mendekati golongan belia.
“Tidak mustahil, kerana belia mahukan pemimpin yang memahami mereka dan penjenamaan KJ serasi dengan generasi ini,” katanya lagi.