Menjadi satu kesalahan di dalam Malaysia apabila seseorang memiliki,menyimpan,menyorok atau mengedarkan rokok dan juga arak yang belum diluluskan oleh Jabatan Kastam Diraja.
Hukuman bagi kesalahan ini akan dipinda oleh jabatan tersebut melalui pindaan seksyen 135(1) iaitu dengan menaikkan hukuman denda sehingga RM 100,000.
“Ia adalah sebahagian daripada langkah drastik Jabatan Kastam untuk menangani kes penyeludupan rokok dan minuman keras di negara ini,” kata Ketua Pengarah Kastam Datuk T. Subromaniam pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya apabila disabitkan kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang daripada RM100,000 atau 10 kali nilai duti atau cukai atau mana yang lebih tinggi.
Pada masa ini, pesalah dikenakan hukuman denda sehingga 20 kali ganda nilai barang rampasan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, Subromaniam berkata pihaknya merampas empat kontena mengandungi 32.7 juta batang rokok dan 18,240 tin arak kerana gagal mengemukakan lesen import di Zon Bebas Pelabuhan Barat di sini dua hari lepas.
Siasatan awal mendapati muatan rokok dan arak itu, yang masing-masing bernilai RM2.616 juta dan RM30,096 itu, dipercayai dari negara jiran dan menjadikan Pelabuhan Barat sebagai transit.
Tiada tangkapan dibuat berhubung kes itu, katanya sambil memberitahu bahawa ia adalah kes pertama membabitkan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 yang dikuat kuasakan pada 1 April lepas.
Bernama