spot_img
spot_img

“Bir Halal” Tiada Sijil Halal Jakim

spot_img

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan sehingga kini tiada sijil halal dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk minuman ‘bir halal’ atau mana-mana produk menggunakan nama menyerupai atau dikaitkan dengan perkara yang haram.

Menurut beliau, penggunaan nama bir halal bertentangan dengan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM) dan Standard Malaysia (MS1500:2009) yang dijadikan asas kepada Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dalam pengurusan sijil halal.

“Dalam manual berkenaan, jelas dinyatakan bahawa produk yang menggunakan nama ataupun nama sinomin dengan produk tidak halal atau istilah yang mengelirukan seperti ham, bak kut teh, bakon, bir dan seumpama dengannya adalah tidak layak memohon sijil halal Malaysia.

- Advertisement -

“Makanan halal dan bahan perisa tiruan halal juga hendaklah tidak menggunakan nama atau nama sinonim dengan istilah yang mengelirukan merujuk kepada makanan tidak halal,” katanya menjawab soalan Senator Khairiah Mohamed yang meminta kerajaan menyatakan senarai bir halal yang diluluskan dan berada di pasaran serta syarat penjualan bir halal.
Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negara bermula hari ini dan berakhir pada 27 April ini.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata sesetengah minuman tersebut mendapat sijil halal daripada syarikat swasta atau badan persijilan halal luar negara, dan terdapat juga yang tidak menggunakan sebarang logo halal pada produk mereka.

“Perlu ditekankan di sini, Jakim dan JAIN adalah pihak berkuasa dalam persijilan halal Malaysia. Setiap permohonan sijil halal Malaysia perlu mematuhi MPPHM atau standard-standard keputusan fatwa dan peraturan yang berkaitan yang diguna pakai dalam urusan pensijilan halal Malaysia.

- Advertisement -

“Oleh itu, Jakim sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan minuman ini tidak menyalahgunakan logo halal Malaysia pada produk mereka,” katanya.

Sebagai langkah menjaga kepentingan pengguna, Jamil Khir berkata tindakan undang-undang di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, yang memperuntukkan hukuman sebanyak RM200,000 boleh digunakan jika sabit kesalahan kepada syarikat pengeluar produk tersebut sekiranya produk berkaitan didapati berada di pasaran yang menggunakan label dan tanda halal Malaysia. – Bernama

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img