Bagi keselesaan bersama, PLUS Malaysia menasihat rakyat Malaysia yang masih lagi menggunakan khidmat pembayaran secara tunai di tol tunai segera bersiap sedia menghadapi sistem elektronik pada semua tol di dalam Malaysia.
Menjelang 26 April ini, kesemua tol di lebuhraya PLUS akan berfungsi secara elektronik sepenuhnya. Menurut PLUS, statistik menunjukkan masih ada 200 000 orang yang masih menggunakan perkhidmatan secara tunai dan pihak Plus melalui Pengurus Besar Operasi nya, Puan Nurbayati Manap menasihatkan untuk segera bertukar kepada pembayaran elektronik bagi kemaslahatan bersama.
“Tiada lagi bayaran tol secara tunai akan dikendalikan di plaza tol dan pengguna perlu membayar tol menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go atau SmartTAG,” katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai pelaksanaan sistem kutipan tol secara elektronik sepenuhnya di sini hari ini.
Sistem pembayaran secara elektronik sepenuhnya sudah bermula secara berperingkat dari 2008 dan kini 92% pengguna lebuh raya sudah menggunakan pembayaran secara elektronik. Plus mengharapkan pada 26 April ini tidak berlaku sebarang masalah dan berjalan dengan lancar.
Bagi memastikan sistem elektronik ini berfungsi secara menyeluruh, Plus sendiri telah membelanjakan 3 juta ringgit bagi tujuan menaik taraf tol di seluruh Malaysia.
Norbayati menambah, pelaksanaan fasa terakhir pada 26 April ini melibatkan 71 buah lagi plaza tol dari Juru hingga Skudai.
Beliau berkata PLUS turut memperluaskan penyediaan kiosk layan diri bagi pengguna membeli dan tambah nilai kad termasuk di Plaza Tol Pagoh, Ayer Keroh, Dengkil, Simpang Pulai, Sungai Perak dan Gunung Semanggol.
“Di Johor, kita mengenal pasti kira-kira 80 peratus pengguna masih membuat bayaran secara tunai iaitu di Plaza Tol Machap, Plaza Tol Pagoh dan Plaza Tol Tangkak.
Selain itu, katanya, Plus juga bercadang melaksanakan sistem pembayaran tol secara elektronik sepenuhnya di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dan LPT 2, Oktober ini. –Bernama