Kerajaan tidak mempunyai apa-apa perancangan untuk menaikkan umur bersara wajib daripada 60 tahun kepada 65 tahun.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim bagaimanapun berkata kerajaan sentiasa bersifat terbuka dalam menerima cadangan dan pandangan orang ramai berkaitan usia persaraan yang bersesuaian.
“Ia perlu diperhalusi kerana membabitkan pelbagai agensi dan perubahan polisi secara menyeluruh.
“Kajian secara mendalam perlu dilakukan kerana peningkatan usia bersara wajib baru sahaja diimplementasikan kepada 60 tahun pada Julai 2013,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.