Membaca berita mengenai kematian ahli keluarga sendiri mungkin adalah saat paling sukar bagi seseorang penyampai berita.
Namun, berbeza buat penyampai saluran IBC24 di India, Supreet Kaur yang kelihatan tenang dan dapat mengawal emosinya apabila mengetahui mengenai kematian suaminya ketika melaporkan berita terkini secara langsung di televisyen.
Dalam buletin pagi itu, seorang wartawan menghubungi stesen televisyen berkenaan untuk menyampaikan berita kemalangan maut.
Kaur menyedari suaminya, Harsad Kawade, ialah antara yang terbunuh walaupun wartawan itu tidak menamakan tiga mangsa yang terbabit.
“Buat seketika, suaranya bergetar tetapi dapat mengawal diri dan terus membaca berita hingga ia tamat 10 minit kemudian,” kata ketua pengarah IBC24, Ravikant Mittal.
Sebaik siaran berakhir, Kaur keluar dari studio dan menangis sbelum menghubungi wartawan untuk maklumat lebih lanjut mengenai kemalangan itu.
Kaur dan Kawade baru setahun berkahwin dan menetap di Raipur, ibu negeri Chhattisgarh.
Sumber: Berita Harian