Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin tiada sebarang halangan untuk menyokong pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 pindaan 2016 atau Akta 355 apabila dibahas dan diundi dalam sidang Parlimen akan datang.
Walaupun menggangap tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan perbahasan Khamis lalu sebagai tidak munasabah, namun katanya, rang undang-undang (RUU) itu bukan bertujuan melaksanakan hudud di Malaysia.
“Malah ia hanyalah pindaan kepada undang-undang sedia ada sepertimana yang pernah dilakukan pada tahun 1984 dan 1989. Bezanya sebelum ini, pindaan dilakukan menerusi RUU kerajaan, bukan RUU persendirian.
“(Oleh itu), sekiranya pandangan-pandangan yang saya kemukakan diambil kira, saya tiada halangan untuk menyokong RUU ini apabila ia dibahas dan diundi dalam sidang parlimen akan datang,” katanya hari ini.
Menurut Muhyiddin, antara pandangan-pandangan itu ialah apabila RUU itu diluluskan, perlu ada jaminan agar pesalah bagi kesalahan ini dan seumpamanya tidak dikenakan hukuman penjara atau denda yang terlalu berat dan tidak setimpal apabila had hukuman penjara dinaikkan ke tiga puluh tahun dan denda sehingga RM100,000.
“Satu lindung jamin mestilah diadakan di dalam RUU ini untuk memastikan pesalah menerima hukuman yang adil dan setimpal berlandaskan hukum Syarak. Pindaan ini juga masih lagi mengikat Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengadakan hukuman dalam tiga bentuk hukuman sahaja iaitu pemenjaraan, denda dan sebatan.
“DUN masih tidak boleh mengadakan hukuman lain seperti mewajibkan hadir solat berjemaah di masjid untuk suatu tempoh tertentu atau melakukan kerja-kerja amal bagi orang yang melakukan kesalahan seperti tidak bersolat Jumaat, tidak berpuasa di bulan Ramadhan atau seumpamanya yang saya fikir lebih sesuai untuk tujuan mendidik daripada dikenakan hukuman denda atau penjara semata-mata,” katanya.
Sumber: Malaysiakini