Selepas ini, Malaysia tidak akan menganjurkan lagi perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Malaysia di mana tahun ini menyaksikan penganjuran terakhir Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai tuan rumah.
Malaysia tidak menyambung kontrak penganjuran berikutan kedudukan ekonomi dan sambutan yang kurang memberangsangkan.
Perlumbaan berprestij dunia yang mula dianjurkan pada tahun 1999 itu akhirnya bakal menjadi sejarah buat sukan pemotoran negara apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perlumbaan GP Malaysia bakal berakhir 2018.
Jelasnya di laman blog najibrazak.com, Kabinet telah bersetuju untuk menamatkan kontrak penganjuran perlumbaan F1 bermula tahun 2018 memandangkan penurunan pulangan yang semakin ketara kepada negara berbanding dengan kos penganjuran kejohanan tersebut.
“Pada peringkat awalnya penganjuran F1, perlumbaan ini dapat mempromosikan negara sebagai destinasi bagi acara sukan bertaraf dunia, selain mempromosi negara sebagai destinasi pilihan pelancong global.
“Namun begitu, sudah sampai masanya kerajaan menilai penganjuran kejohanan F1 ini dengan mengambil kira perubahan yang berlaku sejak kita menganjurkan perlumbaan ini pada tahun 1999.
“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira laporan dan pandangan daripada Sepang International Circuit (SIC) mengenai impak kewangan acara F1 ini kepada semua pihak berkepentingan,” jelasnya.
Tambah Najib, kerajaan terpaksa menanggung kos penganjuran yang sangat tinggi setiap tahun tetapi pulangan daripada menganjurkan kejohanan ini semakin berkurangan dari segi penonton, pengunjung dan jumlah kedatangan pelancong asing semasa perlumbaan berlangsung sejak beberapa tahun yang lalu.
Sumber: MStar