spot_img
spot_img

‘Rugi Anak Muda Tak Sertai Parti Politik’

spot_img

Perjalanan anak muda ini sebelum berkecimpung dalam dunia politik agak menarik. Beliau pernah bergelar doktor perubatan dan berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur sebelum memutuskan untuk menjadi usahawan memiliki perniagaan sendiri. Malah, beliau juga aktif dalam NGO PERKASA terutama dalam Biro Integriti, Anti Rasuah dan Salah Guna Kuasa. Antara isu yang terakhir yang diperjuangkan dalam PERKASA ialah berkisar skandal 1MDB, sebelum beliau memilih untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Walaupun masih muda, Dr Muhammad Faiz Na’aman adalah antara wajah yang diberi kepercayaan untuk membarisi Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PPBM. Tentu ada sebab untuk beliau sebagai generasi muda menyertai parti paling baru. Tularr.com sempat menemubual Dr Faiz bagi mengetahui pandangannya mengenai isu anak muda dan penglibatan dalam politik.

 

Sebagai orang muda, kenapa Dr memilih untuk menyertai PPBM? 

- Advertisement -

 

Saya memilih untuk menyertai PPBM kerana sejak dari awal lagi saya mengimpikan keperluan agar diwujudkan satu parti baru yang segar serta memperjuangkan prinsip Alif Baa Taa (Agama, Bangsa, Tanah Air) bagi menjadi alternatif kepada UMNO yang saya lihat telah jauh terpesong dari roh perjuangan para pejuang-pejuang negara yang terdahulu.

 

- Advertisement -

Diberi peluang mewakili orang muda dalam MPT PPBM, apakah isu yang dilihat relevan untuk parti perjuangkan bagi golongan ini?

Sebagai salah seorang wakil orang muda dalam MPT PPBM, saya melihat antara isu yang patut diperjuangkan khusus untuk golongan tersebut ialah pendidikan, pekerjaan, kos sara hidup, serta cabaran sosio-budaya yang sedikit sebanyak boleh mempengaruhi hala tuju golongan muda di negara ini.

 

Bergandingan dengan nama-nama senior dalam parti seperti Tun Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan lain-lain, adakah mereka dapat terima idea orang muda atau adakah berlakunya percanggahan pendapat?

Adalah lumrah dalam mana-mana organisasi untuk kita saling bertukar pendapat, adakalanya sedikit bercanggah, tetapi kebanyakannya dapat diterima sesama kita tidak kira muda atau pun tua, sungguhpun diri ini dilihat “kerdil” jika hendak dibandingkan dengan tokoh-tokoh ternama dalam kepimpinan PPBM. Saya boleh katakan PPBM adalah parti yang mesra pendapat
orang muda dan cukup terbuka untuk menerima pendapat golongan tersebut.

 

Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan 40 peratus ahli PPBM terdiri daripada orang muda. Sejauh mana jumlah ini memberi kelebihan kepada parti?

Orang muda merupakan aset masa depan negara. Kebanyakan mereka cukup semangat untuk melihat perubahan berlaku dalam negara terutama yang melibatkan sosio-ekonomi serta politik. Mereka adalah golongan yang cukup sensitif dengan perkembangan semasa di sekitar mereka. Ramai juga golongan
ini yang merantau serta berpendidikan tinggi, dan terdedah dengan kepelbagaian pendapat serta sumber maklumat terutama melalui media sosial.

Inilah kekuatan sesebuah parti apabila golongan muda menjadi benteng hadapan dalam menyebarkan sesuatu ideologi perjuangan melalui jaringan komunikasi yang aktif sesama mereka. Dan golongan ini juga kebanyakannya tidak terbeban dengan dendam politik lama kerana mereka lebih mementingkan praktikaliti berbanding retorik.

 

Ramai anak muda yang mempunyai ciri kepimpinan tidak mahu menyertai mana-mana parti politik. Adakah Dr rasa ini satu kerugian? Atau mungkin ada strategi untuk memenangi sokongan mereka walaupun tidak menjadi ahli parti?

Ya, adalah merupakan suatu kerugian bagi anak muda yang mempunyai ciri kepimpinan tetapi mendiamkan diri tidak mahu menyertai mana-mana parti yang boleh mendukung pandangan mereka. Namun kita perlu selidik kenapa mereka memilih begitu. Mungkin pendekatan sesuatu parti politik itu tidak berjaya mencuri hati mereka untuk turut bersama. Pendekatan santai adalah mekanisme yang terbaik untuk mendekati golongan tersebut. Ia tidak perlu terlalu fokus kepada politik kepartian semata-mata, tetapi ideologi perjuangan boleh diserapkan dalam aktiviti-aktiviti sosial serta sukan yang digemari mereka. Lagi satu golongan muda lebih selesa berinteraksi secara langsung dengan golongan pemimpin. Lebih-lebih lagi jika seseorang pemimpin itu turun menyertai apa-apa acara melibatkan kegiatan mereka. Contohnya seperti walkabout, futsal dan lain-lain lagi.

 

Sebagai ahli MPT, apa kelainan/idea yang Dr ingin tonjolkan dalam PPBM itu sendiri?

Sebagai ahli MPT, adalah menjadi keutamaan saya untuk menonjolkan suatu ciri kepimpinan yang “merakyat” iaitu pemimpin dan rakyat tidak dipisahkan oleh suatu strata yang berbeza, yakni boleh saling mendukung antara satu sama lain, saling hormat-menghormati, dan saya ingin mempromosikan suatu
budaya BERANI KERANA BENAR serta ADIL (mengikut definisi Islam) dalam menghukum sesuatu perkara. Dan tidak lupa juga saya menggalakkan agar
rakyat terus berfikiran kritis, rasional serta berterus-terang dalam meluahkan pendapat demi kebaikan bersama. Budaya “malu-alah” Melayu
contohnya perlu disingkirkan jika kita mahu berubah menjadi bangsa kelas pertama yang berdaya saing.

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img