Aksi memanjat dinding setinggi tiga meter dengan tangan kosong merupakan perkara biasa bagi Arat Hosseini.
Budak lelaki Iran yang baru berusia tiga tahun itu berjaya meraih perhatian pengguna Internet selepas aksinya melakukan rutin seorang gimnas seperti back flip dan balik kuang menjadi tular di media sosial.
Kebolehan Arat Hosseini melakukan rutin itu membuatkan dia digelar sebagai Spider Boy.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di akaun Instagram Arat, kanak-kanak itu dirakam memanjat dinding tembok di dalam bilik rumah mereka sambil diperhatikan bapanya.
Kedua-dua ibu bapa Arat, Mohamad dan Fatemeh yang tinggal di Babol di wilayah Mazandaran, Iran berkata, anak lelaki mereka tidak pernah mendapatkan latihan secara profesional sebaliknya hanya berlatih dalam tempoh 10 hingga 20 minit di rumah mereka.
Mohamad berkata, dia hanya menyedari kebolehan luar biasa anaknya semasa membelai Arat yang sedang tidur sejurus pulang dari bekerja.
sumber: Utusan