Pelakon Emma Maembong akui belajar beberapa ayat asas dalam bahasa bahasa Korea untuk bertutur dalam filem Kimchi Untuk Awak (KUA).
Menurut Emma, atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 25, agak sukar untuk menyebut ayat-ayat yang diajar memandangkan dia tidak biasa dengan bahasa berkenaan.
“Bagi saya memang sukar untuk bercakap dalam bahasa Korea, berbelit-belit lidah bila menyebut ayat-ayat yang diajarkan.
“Walaupun itu adalah ayat asas seperti Annyeong Haseyo (apa khabar), tapi bila saya sebut bunyinya dah jadi lain.
“Maklumlah orang Melayu, jadi mungkin pelik sikitlah bunyinya. Kadang-kadang bila berlatih bercakap pun saya tergelak sendiri.
“Hasilnya? Tengok sajalah nanti dalam Kimchi Untuk Awak, itu pun saya dah cuba sehabis baik,” katanya kepada Astro Gempak.
Dalam pada itu, menerusi akaun Instagram (IG) Emma, peminat mula menyatakan rasa tidak sabar untuk menonton filem tersebut.
Rata-ratanya ingin melihat gandingan sweet Emma dan Aiman selain gelagat lucu Danial Lee dan Bella yang diibaratkan bagai anjing dengan kucing kerana kerap bergaduh.
Selain Emma, Kimchi Untuk Awak turut dibintangi oleh Aiman Hakim, Janna Nick, Dira Abu Zahar, Ungku Hariz dan Sharifah Sakinah.
Filem terbitan Astro Shaw dan Darkwave Pictures ini menemui penonton bermula hari ini (30 Mac).
KUA juga merupakan filem pertama arahan Michael Ang.
Kimchi Untuk Awak mengisahkan tentang pertemuan Bella (Emma Maembong) dengan seorang lelaki Melayu kacukan Korea, Danial Lee Jae Hwan (Aiman Hakim) secara tidak sengaja di Lapangan Terbang Incheon.
Pertemuan itu menimbulkan rasa benci Bella terhadap Danial kerana sikapnya yang berlagak dan menggelarnya sebagai Samseng.
Bagaimanapun satu insiden menyebabkan Bella dan Danial terpaksa diijabkabulkan atas sebab tertentu.
Ketika cinta mula berputik, timbul pula salah faham sehingga menyebabkan Bella mengambil keputusan untuk membawa diri ke Seoul.
Danial kemudiannya nekad untuk mencari Bella dan memikat kembali hatinya.
Dari situ bermulanya bibit-bibit percintaan romantik antara Bella dan Danial.
Source: Bukan Senang, Berbelit Lidah Nak Cakap Bahasa Korea – Emma Maembong | Astro Gempak