spot_img
spot_img

Kerajaan China tawar pakej kewangan menarik untuk projek ECRL – JPM

spot_img

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan China telah mengemukakan tawaran pakej kewangan yang menarik dan memberi kelebihan kepada Malaysia untuk pelaksanaan Projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL).

Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkata bagi membolehkan Malaysia mendapat terma kewangan yang terbaik itu, syarikat pembinaan terbesar milik China iaitu China Communications Contruction Company (CCCC) telah dilantik kerajaan China bagi melaksanakan projek tersebut dengan kos RM55 bilion.

“CCCC adalah syarikat reka cipta dan pembinaan terbesar di China dan majoriti sahamnya dimiliki dan dikawal oleh kerajaan China.

- Advertisement -

“CCCC juga mempunyai rekod yang baik dalam projek-projek pembinaan besar termasuk di Malaysia,” kata JPM dalam jawapan bertulisnya kepada Nasruddin Hassan (PAS-Temerloh) pada persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

Nasruddin ingin tahu sama ada kerajaan melaksanakan penelitian yang mendalam dalam pemberian kontrak konsesi bagi pembinaan ECRL, termasuk melibatkan prestasi syarikat yang diberikan tender pembinaan.

Menurut JPM, dengan komitmen dan prestasi syarikat yang memberangsangkan, kerajaan yakin CCCC boleh memberikan hasil terbaik dan menyiapkan projek ECRL dalam tempoh bersesuaian dengan skala projek tersebut.

- Advertisement -

Menjelas lanjut, JPM berkata projek itu bukanlah sesuatu yang baharu dan telah mula dibincangkan di pelbagai peringkat sejak 1981 lagi di mana sejak cadangan asalnya, perancangan menyeluruh, pelan kewangan, kaji selidik pasaran dan kajian sudah dilaksanakan.

Tambahnya, kajian kebolehlaksanaan telah dilakukan sejak 2007 dan kaji selidik pasaran melalui Permintaan Maklumat (RFI), telah dilaksana dari Mac sehingga Jun 2016.

Menerusi RFI itu, kerajaan telah menerima respons daripada 27 kumpulan dari lima negara yang berbeza termasuk Korea Selatan, China, Australia, Amerika Syarikat dan Eropah yang berminat untuk melaksanakan projek itu.

Melalui kajian itu, spesifikasi teknikal termasuklah indikatif terhadap kos telah ditentukan, kata JPM.

Justeru, semasa lawatan rasmi delegasi Malaysia ke China pada hujung Oktober tahun lalu, beberapa perkara telah dibincangkan bagi meningkatkan pelaburan dan juga kerjasama dua hala berterusan dengan China.

JPM berkata dalam rundingan itu, kedua-dua kerajaan telah mencapai kata sepakat supaya projek ECRL dilaksanakan sebagai inisiatif projek kerajaan-dengan-kerajaan (G2G) antara China dan Malaysia.

Dalam pada itu, JPM menjelaskan ECRL merupakan projek infrastruktur yang penting bagi Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang akan menghubungkan Pantai Timur dan Lembah Klang.

“Pelaksanaan ECRL akan menjadi pemangkin transformasi untuk negeri-negeri Pantai Timur di Semenanjung dan bakal merangsangkan lagi pertumbuhan sosioekonomi, serta memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Cadangan pelaksanaan projek ECRL itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu pembentangan Bajet 2017 pada Oktober tahun lepas.

Projek itu membabitkan pembinaan laluan sepanjang kira-kira 600 kilometer yang akan menghubungkan Lembah Klang dengan Kuantan, Pahang sehingga ke Terengganu serta Tumpat di Kelantan.

Projek itu dijadual bermula Julai ini dan dijangka siap pada Jun 2024.

— BERNAMA

Source: Kerajaan China tawar pakej kewangan menarik untuk projek ECRL – JPM | Astro Awani

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img