Manusia sudah semakin kejam! Itulah yang dapat dikatakan dengan dunia hari ini. Meskipun sudah banyak kes buang bayi dilaporkan dan si pelaku diheret ke mahkamah, ia seolah-olah langsung tidak menimbulkan kesedaran.
Terbaru, seorang bayi lelaki ditemui dalam kotak air mineral di tepi tangga tingkat lapan Blok D Flora Damansara, Petaling Jaya, semalam.
Menurut laporan Astro Awani, bayi yang dipercayai baru dilahirkan itu ditemui oleh seorang remaja perempuan yang terdengar suara tangisan bayi itu ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di tingkat sembilan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, remaja itu kemudian menghubungi ibunya yang berada di tempat kerja sebelum menghubungi polis untuk memaklumkan penemuan itu.
“Saksi menemui kotak air mineral berkenaan di platform tangga antara tingkat sembilan dan tingkat lapan.
“Dalam kotak tersebut remaja berkenaan menjumpai bayi lelaki yang masih dalam tangisan dan menunggu beberapa minit sebelum membawa bayi ke rumahnya sekali dengan kotak,” katanya.