Mereka tidak pernah pinta menjadi seorang yang gagap. Saya tidak faham dengan segelintir Manusia yang memanfaatkan gagap sebagai bahan lawak.
Ia adalah suatu gangguan dalam berbicara, di mana aliran bicara terganggu tanpa disedari oleh pengulangan dan pemanjangan suara, suku kata, frasa serta yang mengakibatkan gagalnya produksi suara.
Apa itu gagap?
Gagap ialah keadaan di mana pertuturan menjadi tidak lancar atau tersekat-sekat. Masalah ini boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan juga orang dewasa. Walaupun gagap bukan merupakan masalah kesihatan, namun masalah ini boleh menyebabkan proses komunikasi terganggu.
Apakah ciri-ciri gagap?
Masalah gagap boleh dikenal pasti melalui dua ciri utama iaitu gagap primer dan gagap sekunder
1. Gagap Primer
Gagap primer terjadi apabila pertuturan individu mengalami sekatan (blocking), pengulangan (repetition), pemanjangan (prolongation) atau sisipan (interjection).
– Sekatan – berlaku apabila pertuturan tersangkut ketika cuba menyebut sesuatu perkataan. Sebagai contoh, ketika ingin menyebut ‘bola’, bibir individu mungkin tertutup dengan sangat rapat dan sukar digerakkan untuk menyebut perkataan tersebut.
– Pengulangan – berlaku apabila bunyi, sukukata, sebahagian atau keseluruhan perkataan diulang-ulang beberapa kali dalam percakapan. Sebagai contoh, “Nak bu..bu..bu..bu,,,buka pintu”. Masalah ini kerap berlaku pada sukukata awal dan tidak pada sukukata akhir sesuatu perkataan.
– Pemanjangan – berlaku apabila bunyi dalam perkataan dipanjangkan. Sebagai contoh, “ssssssaya nak booola”.
– Sisipan – berlaku apabila terlalu kerap menambah bunyi tidak bermakna dalam percakapan. Sebagai contoh, menambah bunyi ‘aaa’ dan ‘hmmm’ semasa bercakap “aaa.. saya suka aaa… makan hmmm…. kek”
2. Gagap Sekunder
Gagap sekunder melibatkan pergerakan anggota badan yang terjadi semasa gagap primer berlaku. Sebagai contoh, mata berkelip-kelip berulang kali semasa berlakunya gagap. Selain itu, individu gagap juga boleh melakukan gerakan gagap sekunder seperti berikut:
– Menepuk meja
– Menghentak kaki
– Hidung bergerak-gerak atau kembang
– Kepala bergerak-gerak
Apakah punca-punca berlakunya gagap?
Sehingga kini, punca sebenar masalah gagap masih belum dapat di kenalpasti. Namun, menurut kajian, faktor-faktor berikut boleh menjadi punca gagap:
– Genetik – Individu yang mempunyai sejarah keluarga dengan masalah gagap berkemungkinan besar untuk mengalami masalah tersebut.
– Kerosakan saraf – Kecederaan atau kerosakan sistem saraf akibat strok atau kemalangan boleh menjadi punca gagap yang dikenali sebagai gagap neurogenik.
– Persekitaran – Individu terutamanya kanak-kanak yang terdedah kepada persekitan individu gagap (bapa, abang, saudara-mara), cenderung untuk mengikut gaya percakapan mereka dan boleh menjadi gagap.
– Tekanan – Individu dalam tekanan untuk bercakap cenderung untuk menjadi gagap. Seperti contoh, kanak-kanak sering menjadi gagap apabila ibubapa menekan anak untuk menyebut perkataan dengan betul dan tepat. Ini menyebabkan tekanan pada otot-otot pertuturan dan menjadi punca anak gagap.
Bila gagap boleh menjadi lebih teruk?
Gagap boleh menjadi lebih teruk disebabkan faktor-faktor berikut:
– Keadaan persekitaran – Keadaan persekitaran yang bising merupakan antara punca gagap menjadi lebih teruk.
– Rakan komunikasi – Individu mudah menjadi lebih gagap apabila bercakap dengan orang yang tidak dikenali, berlainan jantina atau orang yang tidak rapat. Selain itu, keadaan akan menjadi lebih teruk apabila indvidu tersebut bercakap di hadapan orang ramai.
– Topik perbualan – Topik perbualan atau perkataan yang susah dan jarang digunakan adalah lebih sukar untuk individu gagap. Misalnya, perkataan ‘perbendaharaan’
– Perasaan – Perasaan individu sendiri boleh mempengaruhi masalah gagap. Individu yang berada dalam keadaan cemas, takut, teruja, penat, atau terkejut boleh menyebabkan gagap menjadi lebih teruk.
Apakah kesan-kesan gagap?
Masalah gagap boleh memberi kesan yang besar kepada individu dan masyarakat. Antara kesan-kesan gagap ialah:
– Individu berasa rendah diri dan malu
– Mengelak dari berbual dengan orang luar atau orang ramai.
– Komunikasi menjadi tidak berkesan, maklumat tidak sampai kerana kurang difahami oleh pendengar.
– Tekanan perasaan atau kemurungan.
Apakah yang boleh anda lakukan?
Masalah gagap merupakan masalah yang boleh dibantu melalui rawatan terapi pertuturan. Sekiranya anda, anak atau ahli keluarga anda mengalami masalah ini, anda boleh mendapatkan rujukan dan temujanji untuk berjumpa dengan Pegawai Pemulihan Perubatan (Pertuturan-Bahasa) di hospital-hospital yang berhampiran.