MUMBAI: Seorang wanita dipercayai paling berat di dunia selamat menjalani pembedahan mengurangkan berat badan di Mumbai pada Khamis.
Wanita itu, Eman Ahmed Abd El Aty, seorang warga Mesir berjaya menurunkan lebih 100 kilogram daripada berat asalnya iaitu sekitar 500 kilogram, lapor AFP.
Eman yang sejak lebih dua dekad lalu tidak pernah meninggalkan rumahnya di Mesir diterbangkan ke Mumbai pada bulan lalu untuk menjalani pembedahan bariatric.
“Sukacita dimaklumkan kepada semua bahawa pasukan perubatan Hospital Saifee telah berjaya melakukan pembedahan itu terhadap Eman Ahmed,” menurut satu kenyataan.
“Eman berjaya menjalani pembedahan Laparoscopic Sleeve Gastrectomy pada 7 Mac 2017 di Hospital Saifee. Pembedahan tersebut berjalan dengan lancar.
“Tindakan seterusnya buat pasukan perubatan adalah untuk membetulkan semua masalah perubatan yang berkaitan, untuk membolehkan beliau cukup cergas untuk terbang kembali ke Mesir dengan seberapa segera,” tambah kenyataan itu lagi.
Menurut seorang jurucakap bagi pihak Dr Muffazal Lakdawala yang mengetuai pembedahan terhadap Abd El Aty, berat wanita berusia 37 tahun itu telah dipantau agar tidak melebih 400 kilogram sejak tiba di Mumbai pada awal Februari.
“Eman turun lebih 100 kilogram dan berat badannya turun secara beransur-ansur setiap hari dengan bantuan rawatan dan sokongan,” katanya kepada AFP.
Wanita Mesir itu dipercayai masih mengungguli gelaran wanita paling berat di dunia mengatasi wanita warga Amerika Syarikat Pauline Potter yang mencatatkan berat 293 kilogram di dalam Guinness Book of World Records pada Julai tahun lepas.
Abd El Aty yang berasal dari bandar pelabuhan Mediterranean Alexandria diterbangkan ke Mumbai, India dalam sebuah pesawat Airbus yang diubah suai pada Sabtu 11 Februari untuk rawatan.
Source: Wanita paling berat di dunia jalani pembedahan berjaya turun 100 kilogram | Astro Awani