Vokalis kumpulan Wings, Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie mengakui terpanggil untuk mengadakan Konsert Wings & Superfriends – Belenggu Irama selepas melihat kesulitan dan kesukaran hidup rakan artis.
Awie berkata, nasib para artis Malaysia tidak sepertinya malang seperti yang telah berlaku selama ini kerana golongan ini juga sebahagian besar daripada komuniti dan ada di antara mereka membawa nama Malaysia ke mata dunia.
“Saya sedih apabila melihat artis tidak diberi pembelaan dan layanan yang sepatutnya. Kewujudan kami ini seolah-olah ‘berguna’ ketika popular sahaja.
“Sudah lama saya impikan konsert seperti ini untuk membantu rakan-rakan artis yang sudah lama ‘diabaikan’. Mereka tidak dipanggil lagi untuk bekerja.
“Konsert ini adalah untuk membantu anak-anak seni yang sudah lama dinafikan kewujudan mereka. Bukan sahaja penyanyi, tetapi penulis skrip dan pelakon juga.
“Awie Entertainment juga berhasrat untuk menyalurkan sumbangan kepada rumah-rumah kebajikan dan Asnaf jika dana yang terkumpul mencukupi,” katanya kepada Astro Gempak.
Tambah Awie lagi, konsert tersebut diadakan bagi mendidik masyarakat untuk menghibur sambil menderma.
Source: Kesulitan Rakan Artis Buat Awie Terpanggil Adakan Konsert Wings & Superfriends | Astro Gempak