spot_img
spot_img

PM Kutuk Korea Utara Halang Rakyat Malaysia Meninggalkan Negara Itu

spot_img

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengutuk sekeras-kerasnya keputusan Korea Utara menghalang rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu.

“Tindakan keji ini, seumpama menjadikan rakyat kita sebagai tebusan, sama sekali tidak menghormati undang-undang antarabangsa serta norma hubungan diplomatik,” katanya dalam akaun Twitter dan Facebook beliau.

- Advertisement -

Najib berkata beliau telah memanggil mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara dan mengarahkan Ketua Polis Negara untuk menghalang semua rakyat Korea Utara di Malaysia daripada meninggalkan negara “sehingga kita pasti mengenai keselamatan semua rakyat Malaysia di Korea Utara”.

“Kita harap adanya penyelesaian segera. Saya minta kepimpinan Korea Utara untuk segera membenarkan rakyat Malaysia meninggalkan negara tersebut bagi mengelak perkara ini daripada berlanjutan,” katanya.

Najib berkata: “Sebagai sebuah negara yang cintakan keamanan, Malaysia komited untuk mengekalkan hubungan baik dengan semua negara. Namun demikian, melindungi rakyat Malaysua adalah keutamaan saya, dan kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil segala langkah yang perlu, apabila mereka terancam.”

- Advertisement -

Agensi berita China, Xinhua melaporkan hari ini Korea Utara melarang rakyat Malaysia di negara itu daripada keluar sehingga keselamatan para diplomat dan rakyatnya di Malaysia dijamin sepenuhnya selepas penyelesaian kes kematian Kim Jong-nam di Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia tidak membenarkan mana-mana pegawai dan kakitangan kedutaan Korea Utara keluar dari negara ini, dalam satu arahan yang berkuat kuasa serta merta.

Ahmad Zahid berkata langkah itu diambil sebagai tindak balas terhadap Korea Utara menyekat rakyat Malaysia di negara itu daripada meninggalkan Korea Utara.

Semalam, Agensi Berita North Korean Central News Agency (KCNA) melaporkan negara itu telah mengistiharkan duta besar Malaysia ke negara itu sebagai “persona non grata” dan mengarahkan duta itu meninggalkan Korea Utara dalam tempoh 48 jam dari 10 pagi Ahad.

Laporan itu dikeluarkan susulan duta besar Korea Utara di Malaysia, Kang Chol diberi tempoh 48 jam untuk meninggalkan Malaysia selepas gagal hadir apabila dipanggil Wisma Putra (Kementerian Luar).

Keputusan itu dibuat oleh kerajaan berikutan duta itu gagal meminta maaf berhubung tuduhan dibuatnya bahawa Malaysia bersekongkol dengan Korea Selatan dalam menyiasat pembunuhan Kim Chol, dilaporkan secara meluas sebagai Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Feb. Jong-nam hidup terasing daripada adiknya itu.

Kang Chol berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dengan penerbangan Malaysia Airlines MH360 ke Beijing pada Isnin.

— BERNAMA

 

Source: BERNAMA – PM Kutuk Korea Utara Halang Rakyat Malaysia Meninggalkan Negara Itu

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img