KUALA LUMPUR 27 Nov. – Aktres Siti Saleha, 26, memilih seorang pegawai kerajaan, Lutfi Azhar, 30, menjadi tunangnya dalam sebuah majlis pertunangan yang berlangsung di Bandar Puteri, Klang, dekat sini semalam. Dalam majlis yang diadakan di kediaman keluarga pelakon berkenaan, Lutfi hadir bersama rombongannya menyerahkan lima dulang hantaran, berbalas lima oleh pihak perempuan. Difahamkan, pasangan kekasih itu mula berkenalan sejak setahun lalu dan Lutfi melamar Siti Saleha ketika berada di Cancun, Mexico pada Julai lalu. Sebaik pulang ke Malaysia, keluarga Lutfi terus merisik sehinggalah berlangsungnya majlis pertunangan yang dibuat secara tertutup untuk keluarga terdekat itu. Menurut aktres itu, dia menjangkakan akan melangsungkan perkahwinan pada tahun hadapan tetapi masih belum diputuskan lagi buat masa sekarang.