MANILA 21 Okt. – Pegawai tinggi kerajaan Filipina kini ‘bertungkus lumus’ membetulkan persepsi pelbagai pihak yang menyangkakan hubungan perdagangan dan pelaburan antara negara itu dan Amerika Syarikat (AS) yang telah lama terjalin, berakhir begitu sahaja.
Menurut Menteri Perdagangan Filipina, Ramon Lopez, kerajaan tidak akan sesekali menghentikan sebarang kerjasama dengan AS berikutan kenyataan Presiden, Rodrigo Duterte (gambar).
“Kita tidak akan menghentikan sebarang kerjasama perdagangan dan pelaburan dengan AS yang sudah lama terjalin.“Duterte telah memutuskan untuk mengukuhkan lagi hubungan diplomatik dengan China dan rantau ASEAN, itu sahaja,” katanya kepada CNN.
Jurucakap rasmi Duterte pula membayangkan ada pihak-pihak tertentu yang telah keliru dengan kenyataan beliau ketika berada di Beijing.Semalam Duterte dengan lantang mengucapkan selamat tinggal kepada hubungan antara negara ini dengan AS.
Beliau mendakwa negaranya hanya mendapat sedikit faedah daripada hubungan itu.“Kehadiran anda di negara saya adalah untuk faedah anda sendiri. Jadi masa untuk mengucapkan selamat tinggal. Saya tidak akan pergi ke AS lagi, hanya akan dihina di sana.“Saya juga mungkin ke Rusia dan bertemu dengan Putin untuk menjalinkan kerjasama dengan Rusia,” katanya.
Duterte, yang mengambil alih jawatan pada akhir bulan Jun, berkata, beliau bosan dengan dasar luar Filipina yang ditentukan oleh agenda Barat terutamanya AS.
Beliau juga telah menggantung rondaan AS-Filipina bersama di Laut China Selatan dan mengancam menamatkan latihan ketenteraan bersama. – Agensi